Tiada lagi Ujian Teori Lesen GDL, PSV
- Posted by Admin
- On April 10, 2023
- 0 Comments
PUTRAJAYA: Kerajaan memansuhkan ujian teori bagi pengambilan Lesen Vokasional untuk kenderaan awam (PSV) dan kenderaan barangan (GDL) berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagaimanapun pemohon masih perlu menghadiri dan melengkapkan kelas teori sedia ada sebelum lesen terbabit dikeluarkan.
Katanya, tempoh kelas teori sedia ada masih dikekalkan.
“Ini adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur Lesen Vokasional terdiri daripada kategori PSV dan GDL untuk memudahkan pemohon.
“Namun calon bagi kategori lesen PSV untuk bas dan GDL untuk lori bersendi, masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali sebelum mendapat lesen vokasional,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
Menurut Loke, penambahbaikan untuk kelas teori bagi semua kategori lesen vokasional dibenarkan secara dalam talian sama ada menerusi platform disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), institut memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang berkelayakan.
“Mana-mana IM atau syarikat perniagaan pengantaraan, hendaklah menggunakan modul atau silibus pengajaran kelas teori lesen vokasional dalam talian yang ditetapkan JPJ sepenuhnya.
“Pihak JPJ akan menetapkan syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform dalam talian dan mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon,” ujarnya.
Ujarnya, penambahbaikan silibus berkenaan akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.
Sementara itu, Loke menyatakan, had usia maksima penggunaan kenderaan dalam kelas teksi dan e-hailing dilanjutkan daripada 10 tahun kepada 15 tahun, berkuatkuasa dari 1 Januari 2023.
“Ia bagi memudahcara ekonomi gig dan membantu para pemandu teksi serta e-hailing yang amat terkesan dalam tempoh PKP Covid-19 dari tahun 2020 hingga tahun 2022,” ujarnya.
Tambahnya, jika tempoh had usia dikekalkan pada 10 tahun, ramai pemandu terpaksa menanggung kos besar untuk membeli kendaraan yang baru dengan cara berhutang walaupun sumber pendapatan mereka masih tidak menentu.
https://sumberkini.my/tiada-lagi-ujian-teori-lesen-gdl-psv-loke/
0 Comments